Tuhan
Kau patut dirindui
Kau patut dicintai dikenang
Kau patut dipuja dan dibesarkan
Kerana kasih sayangMu dapat dirasai
Kasih sayangMu kepada hambaMu
Lebih daripada kasih ibu kepada anaknya
Tuhan
Betapa tidak
kebesaranMu dapat dilihat melalui gunung
tersergam indah
langit yang luas indah
nikmatMu melimpah ruah
Di waktu sakit
Engkaulah yang menyembuhku
Diwaktu lapar
Engkaulah yang memberi makan
Diwaktu haus
Engkaulah yang memberi minum
Diwaktu sesat
Engkaulah yang memberi petunjuk
Tuhan
Berikan aku ilmu
Untuk memahami manusiaMu
Yang sering kejam
Marah dan hanya berfikir
Dari kehendak dan mimpi sendiri
Beri aku kepekaan
Buat merasa arus cinta
Kesenangan, kesedihan atau kesengsaraannya
Kerana aku perlu memahaminya
Sebelum aku mengundurkan
Keterlibatanku dengannya
Tuhan
Berikan aku keupayaan
Untuk hidup bersama
Paya, lembah, batu,
Pasir, lumpur dan lautan
Kerana kau buatkan aku makhluk bersamanya
Berikan aku ketenangan
Untuk melihat pucuk menjadi daun
Menunggu malam dan bintang-bintangnya
Mengikuti musim-musim hujan dan kemarau
Siput, penyu dan burung berkeliaran
kerana aku harus tahu cara alam
untuk sesuaikan diriku kepadanya.
Monday, January 15, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment